Teknik Menjawab Soalan Sains Bahagian B

[Google Ads1 336*280]
Panduan dan Teknik Menjawab Soalan Sains Sekolah Rendah Malaysia (Bahagian B) Kemahiran Berfikir Aras Tinggi. Soalan Bahagian B dalam Kertas Peperiksaan UPSR Sains digubal untuk menguji tahap penguasaan murid dalam kemahiran proses sains. Ianya merupakan item subjektif yang sesuai digunakan untuk mengenal pasti tahap intelektual dan proses kognitif seseorang murid. Pada masa yang sama dapat menggalakkan murid-murid melakukan interpretasi, analisis, sintesis dan mengamalkan kemahiran berfikir aras tinggi.

FORMAT PEMARKAHAN

Soalan Sains Bahagian B mengandungi
5 soalan induk
20 sub-soalan
Pada kebiasaannya setiap soalan induk mengandungi 4 sub-soalan.
Satu markah diperuntukan bagi setiap sub-soalan.
Jumlah keseluruhan markah soalan Bahagian B adalah 20 markah.

SOALAN INDUK

Setiap soalan induk mengandungi 4 elemen penting iaitu:
  1. Rangsangan Soalan
    • Paparan dalam bentuk teks seperti penerangan dan pernyataan serta paparan dalam bentuk grafik seperti jadual, carta palang dan rajah.
  2. Stem Soalan
    • Maklumat khusus bagi menerangkan tajuk perbincangan dan dimuatkan dalam rangsangan soalan.
  3. Tugasan
    • Terkandung dalam sub-soalan berdasarkan beberapa bentuk soalan.
  4. Respon
    • Panduan untuk memberi penilaian terhadap respon.
    • Nilai markah yang diberi kepada jawapan murid.

SUB-SOALAN

Calon UPSR akan diuji dengan beberapa bentuk soalan seperti:
  1. Apakah corak perubahan pembolehubah bergerak balas?
  2. Apakah maklumat yang dikumpulkan dalam penyiasatan ini?
  3. Berikan satu maklumat yang dikumpulkan dalam penyiasatan ini?
  4. Apakah yang diubah (pembolehubah dimanipulasi)?
  5. Apakah yang diperhatikan (pembolehubah bergerak balas)?
  6. Apakah yang ditetapkan (pembolehubah yang dimalarkan)?
  7. Apakah tujuan penyiasatan?
  8. Apakah kesimpulan penyiasatan ini?
  9. Apakah hubungan antara pembolehubah dimanipulasi dengan pembolehubah bergerak balas?
  10. Nyatakan satu hipotesis berdasarkan pernyataan di atas.
  11. Berikan inferens bagi menerangkan sesuatu kejadian atau keputusan ujikaji.
  12. Apakah pemerhatian yang boleh dibuat berdasarkan keputusan ujikaji?
    Sub-soalan digubal berdasarkan konstruk-kontruk tertentu seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1 di bawah.

    Konstruk Bah B
    JADUAL 1


    STRUKTUR SOALAN

    Rajah di bawah menunjukkan contoh struktur  soalan induk dalam Kertas Sains Bahagian B.

    Struktur Soalan


    Calon harus meneliti dan membaca dengan cermat semua maklumat yang dipaparkan dalam soalan.
    Stem soalan selalunya menerangkan idea umum berkaitan dengan satu penyiasatan atau pemerhatian dengan memberikan maklumat seperti tindakan yang diambil sebelum eksperimen dijalankan, menerangkan secara ringkas konsep sains yang hendak diuji dan menetapkan beberapa syarat yang perlu patuhi sebelum melakukan penyiasatan atau pemerhatian.

    Stem soalan akan membantu calon menentukan tajuk perbincangan (topik) dan seterusnya memberi petunjuk kepada calon bagi mengenal pasti pembolehubah-pembolehubah tertentu.

    Terdapat 7 jenis Rangsangan soalan yang lazim dikemukakan dalam Kertas Soalan Sains UPSR Bahagian B iaitu:
    • Carta palang
    • Jadual Melintang
    • Jadual Menegak
    • Jadual Pengelasan/Klasifikasi
    • Keterangan soalan
    • Rajah
    • Pernyataan aktif dan pasif

    Matlamat utama Rangsangan soalan adalah untuk membantu calon mengenal pasti pembolehubah-pembolehubah tertentu, keputusan penyiasatan dan mentafsir keputusan penyiasatan. Calon akan menggunakan sepenuhnya maklumat yang dipaparkan dalam Rangsangan soalan bagi menjawab sub-sub soalan yang dikemukan dalam Tugasan nanti.

    Tugasan merangkumi sub-sub soalan yang telah dibincangkan dalam Bab 3. Calon perlu menjawab setiap Tugasan (sub-soalan) yang diberikan dengan betul bagi memperoleh markah yang baik.
    Respon menunjukkan nilai markah maksimum yang akan diberikan kepada calon jika calon menjawab sub-soalan dengan betul.

    KESILAPAN LAZIM BAHAGIAN B

    Soalan corak perubahan

    1. Beri lebih daripada satu pola/corak untuk pembolehubah yang mempunyai satu corak sahaja.
    2. Tidak dapat membaca corak perubahan dengan betul.
    Nota : Cara membaca corak daripada rangsangan soalan (jadual/carta palang) daripada kanan ke kiri atau bawah ke atas.
    Skema        : bertambah
    Contoh 1    : bertambah dan bertambah                                   (BETUL)
    Contoh 2    : bertambah dan (berkurang)                                (SALAH)
    Contoh 3    : bertambah, bertambah dan bertambah            (BETUL)
    Contoh 4    : bertambah, (berkurang) dan bertambah          (SALAH)

    Soalan tujuan penyiasatan

    1. Tertinggal perkataan HUBUNGAN.
    2. Pola ditulis bersama pembolehubah.
    Nota: Untuk mengkaji/menyiasat hubungan (pb.dimanipulasi) dengan (pb.bergerak balas).

    Soalan ramalan

    1. Menyatakan dalam bentuk julat.
    Skema        : 30
    Contoh 1    : 21 – 45              (SALAH)
    Contoh 2    : 25 hingga 45   (SALAH)
    1. Tertinggal perkataan PALING/LEBIH DARIPADA/KURANG DARIPADA/ANTARA untuk meramal pada set data bukan nombor.
    2. Menyatakan unit yang salah
    Nota: Unit tidak perlu ditulis.

    Soalan kesimpulan dan hipotesis

    1. Tidak menyatakan pola/corak perubahan.
    2. Silap menyatakan pola/corak perubahan.
    3. Pola/corak perubahan terkalih.
    4. Menulis jawapan untuk soalan tujuan penyiasatan.

    Soalan pembolehubah/maklumat

    1. Pembolehubah tiada parameter.
    2. Pembolehubah ditulis bersama pola/corak perubahan.
    3. Calon keliru/tidak tahu kedudukan pembolehubah dalam rangsangan soalan.
    4. Untuk soalan berikan satu maklumat, calon menyatakan lebih daripada satu jawapan. Jawapan pertama sahaja disemak.
    5. Untuk soalan berikan maklumat, calon tidak menyatakan pembolehubah dimanipulasi dan pembolehubah bergerak balas atau calon hanya menyatakan satu pembolehubah sahaja.

    Soalan inferens

    1. Menyatakan pemerhatian.
    2. Memberikan inferens pada objek/rujukan lain.
    3. Tiada perbandingan. (paling/lebih daripada/lebih berbanding/berbanding)
    4. Membuat pernyataan LEBIH DARIPADA pada objek bersifat mutlak – lebih lelaki, lebih neutral.
    5. Membuat perbandingan bagi soalan menyatakan dua inferens pada ruang jawapan kedua.

    Kemahiran Proses Sains Asas

    Memerhatikan
    • Memerhati dengan menggunakan deria penglihatan, pendengaran, rasa, sentuhan dan bau untuk mengumpul maklumat tentang sesuatu objek atau fenomena.
    • Mencirikan, membandingkan dan membezakan sesuatuk objek, sifat sesuatu bahan dan keadaan dan urutan sesuatu fenomena yang terjadi.
    • Mengenal pasti kriteria seperti ciri, sifat, kualiti dan unsur sesuatu konsep atau objek.
    • Mencari persamaan dan perbezaan berdasarkan kriteria seperti ciri, sifat, kualiti dan unsur sesuatu objek atau peristiwa
    • Menghubungkaitkan maklumat yang dikumpul untuk mencari sesuatu corak, struktuk dan hubungan antara maklumat-maklumat yang dikumpul.
    • Melibatkan proses merekod, mencatat, mengira, mengukur dan melukis.

    Mengelas
    • Menggunakan pemerhatian untuk mengasingkan dan mengumpulkan objek atau fenomena berdasarkan ciri yang sama.
    • Mengumpulkan dan mengasingkan sebarang objek mengikut kumpulan masing-masing berdasarkan persamaan ciri, sifat sepunya dan kriteria yang sepadan.
    • Menyusun sesuatu peristiwa mengikut kronologi yang sepadan.

    Mengukur dan Menggunakan Nombor
    • Membuat pemerhatian secara kuantitatif dengan menggunakan nombor atau alat berunit piawai atau alat yang diseragamkan sebagai unit rujukan.
    • Menggunakan kaedah pengukuran atau anggaran yang standard atau bukan standard bagi menerangkan dimensi sesuatu parameter, objek atau peristiwa.
    • Mengenal pasti secara kuantitatif berdasarkan kriteria seperti ciri, sifat, kualiti dan unsur sesuatu konsep atau objek.
    • Mencari persamaan dan perbezaan secara kuantitatif berdasarkan kriteria seperti ciri, sifat, kualiti dan unsur sesuatu objek atau peristiwa.

    Berkomunikasi
    • Menerima, memilih, menyusun dan mempersembahkan maklumat atau idea dalam bentuk tulisan, lisan, jadual, graf, rajah, simbol grafik atau model.
    • Memudahkan pemahaman pada sesuatu konsep dan prinsip sains.
    • Membantu dalam menerangkan sesuatu tindakan atau peristiwa yang berlaku,
    • Menyampaikan maklumat penting.
    • Menyatakan sebarang perubahan yang berlaku secara jelas dan teratur.
    • Membantu dalam mencari perkaitan, persamaan, perbezaan sesuatu objek atau peristiwa.
    • Membantu proses mengasing dan mengumpul objek atau peristiwa kepada kumpulan tertentu.
    • Membantu proses menganalisis, menilai, menghubungkait, mengitlak dan mensistesis.

    Membuat Inferens
    • Membuat kesimpulan awal yang munasabah yang menerangkan sesuatu peristiwa atau pemerhatian.
    • Memberikan alasan saintifik kepada sesuatu peristiwa atau pemerhatian.
    • Mencari perkaitan dan hubungan antara sebab dan akibat untuk menjana kesimpulan awal yang munasabah dengan membandingkan dan membezakan maklumat yang dikumpul semasa memerhati, mengelas dan mengukur.
    • Mengolah maklumat dengan menguraikannya kepada bahagian yang lebih kecil bagi memahami sesuatu konsep atau peristiwa serta mencari makna yang tersirat.

    Meramal
    • Membuat jangkaan tentang sesuatu peristiwa berdasarkan pemerhatian dan pengalaman yang lalu atau berdasarkan corak perubahan sesuatu set data dan maklumat yang telah dikumpul.
    • Membuat perkaitan antara masa lampau dengan masa hadapan pada sesuatu keadaan atau peristiwa.
    • Membuat jangkaan dan tanggapan terhadap peristiwa yang mungkin terjadi di masa hadapan dengan membayangkan sesuatu idea, konsep, keadaan atau gagasan dalam minda.

    Kemahiran Proses Sains Bersepadu

    Menggunakan Perhubungan antara Ruang dan Masa
    • Memerihalkan perubahan parameter seperti lokasi, arah, bentuk, kedudukan, posisi, kehadiran, bilangan, panjang, jarak, tinggi, suhu, saiz, isipadu, berat dan jisim dengan masa.
    • Menyusun objek dan maklumat mengikut tertib berdasarkan kualiti atau kuantiti ciri atau sifat sesuatu objek atau peristiwa.
    • Menyusun objek atau maklumat mengikut tertib berdasarkan kepentingan atau kesegeraan atau keutamaan.

    Mengawal Pembolehubah
    • Mengenal pasti pembolehubah dimanipulasi, pembolehubah bergerak balas dan pembolehubah yang dimalarkan.
    • Mengenal pasti dan mengendali semua faktor atau pembolehubah yang boleh memberi kesan kepada hasil penyiasatan.
    • Memerlukan penguasaan kemahiran memerhati dan mengelas bagi menentukan parameter dan subjek.
    • Pembolehubah dijana dengan menggabungkan parameter dan subjek.

    VC 1

    Membuat Hipotesis
    • Membuat suatu pernyataan umum tentang hubungan antara pemboleh ubah yang difikirkan benar bagi menerangkan sesuatu perkara atau peristiwa.
    • Membuat andaian awal hubungan di antara pembolehubah dimanipulasi dengan pembolehubah bergerak balas bagi merangka satu penyiasatan.
    • Membuat satu perhubungan yang boleh diuji antara pembolehubah dimanipulasi dan pembolehubah bergerak balas.

    Mendefinisikan secara Operasi
    • Memberi tafsiran tentang sesuatu konsep dan situasi mengikut aspek yang ditentukan dengan menyatakan perkara yang dilakukan dan diperhatikan.
    • Memerihalkan secara spesifik dan jelas tentang cara untuk memerhati dan mengukur perubahan yang berlaku ke atas sesuatu pembolehubah.

      Mengeksperimen
      • Merancang dan menjalankan penyiasatan untuk menguji sesuatu hipotesis, mengumpulkan data, mentafsirkan data sehingga mendapat rumusan daripada penyiasatan itu.
      • Melibatkan proses menyatakan masalah, membuat andaian awal, mengawal pembolehubah, menentukan kaedah penyiasatan, mengumpul dan merekod hasil penyiasatan, mentafsir data dan membuat kesimpulan.
      • Secara umum langkah yang diikuti semasa menjalankan eksperimen adalah:
        1. Mengenal pasti masalah
        2. Membuat hipotesis
        3. Merancang eksperimen
        4. Mengawal pemboleh ubah
        5. Menentukan peralatan dan bahan yang diperlukan
        6. Menentukan langkah menjalankan eksperimen
        7. Menentukan kaedah mengumpulkan data
        8. Menentukan kaedah menganalisis data
        9. Melakukan eksperimen
        10. Mengumpulkan data
        11. Menganalisis data
        12. Mentafsirkan data
        13. Membuat kesimpulan
        14. Membuat pelaporan

        Mentafsir Data
        • Memberi penerangan yang rasional tentang objek, peristiwa atau pola daripada data yang dikumpulkan.
        • Mengesan pendapat yang bertentangan atau berpihak kepada pendapat yang sama.
        • Mencari persamaan, perbezaan, perubahan yang berlaku berdasarkan maklumat yang dikumpul.
        • Mencerna maklumat dengan mencari perkaitan yang wujud di antara parameter-parameter kuantitatif dan kualitatif yang terlibat dalam sesuatu set data yang dikumpul.
        • Menyatakan kesimpulan atau membuat pernyataan tentang hasil sesuatu kajian yang berdasarkan kepada sesuatu hipotesis atau mengukuhkan sesuatu perkara berdasarkan penyiasatan.
        • Menyatakan hubungan di antara pembolehubah-pembolehubah yang terlibat dalam sesuatu penyiasatan.
        • Membuat pernyataan umum terhadap sesuatu perkara untuk keseluruhan set data berdasarkan pemerhatian ke atas sampel atau beberapa maklumat daripada set data itu.
        • Membuat pertimbangan tentang sesuatu perkara dari segi kebaikan dan keburukan, berdasarkan bukti atau dalil yang sah.
        Dapat dirumuskan bahawa kemahiran proses sains asas akan membantu mengembangkan pengalaman belajar seseorang. Kemahiran asas menyediakan ruang untuk menjana idea yang mudah terlebih dahulu dan dikembangkan kepada satu bentuk baru yang lebih kompleks dan terperinci.
        Manakala, kemahiran proses sains bersepadu adalah lanjutan daripada kemahiran proses sains asas. Penguasaan kemahiran proses sains asas sangat kritikal bagi membantu meningkatkan penghayatan dan pemahaman terhadap kemahiran proses sains bersepadu. Kemahiran bersepadu juga merupakan terminal kepada proses penyelesaian masalah dan rangkaian terpenting kepada perancangan sesuatu penyiasatan.

        Secara keseluruhan, kemahiran proses sains dilihat sebagai kemahiran menyelesaikan masalah kerana ia melibatkan pendekatan yang unik dalam menyatakan sesuatu permasalahan dan menyediakan cara pengolahan yang tersusun bagi mencari jawapan dan penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan. 

        Kemahiran proses sains juga mampu memastikan proses pembelajaran memberi pengalaman bermakna dan membantu membangunkan modal insan yang memiliki kemahiran berfikir aras tinggi.
        Adalah menjadi harapan dengan memberikan penekanan yang bersunguh-sungguh kepada penerapan kemahiran proses sains dapat merangsang sifat ingin tahu, mengembangkan minat dan meningkatkan daya kreativiti supaya matlamat melahirkan modal insan berketrampilan saintifik, memiliki keupayaan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran secara kritis, kreatif dan analitis bagi membuat keputusan dan menyelesaikan masalah tercapai.
        [Google Ads2 336*280]

        1 comments:

        How to get to Tropicana Atlantic City by Bus - DrmCD
        Use the following transit lines 원주 출장안마 to get 안산 출장안마 to Tropicana Atlantic City in 속초 출장샵 Atlantic City. First, 강릉 출장샵 use Bus. From Borgata to Atlantic City Boardwalk, 의정부 출장안마

        Reply

        Post a Comment